eZaL SiTe
                   
  
-Biodata- | -Links- | -CM 01/02- | -FPL 03/04- | -IdoLa- | -F.r.i.e.n.d.s- | -Games- | -FoToČ- | -Rencana- | -Contact-

Home

  
                   
  
 -Rencana- 
  
 

Memahami imperialisme baru AS



BEBERAPA hari selepas serangan ke atas World Trade Center di New York dan Pentagon di Washington pada 11 September 2001, Presiden George William Bush mengisytiharkan crusade terhadap keganasan.

Katanya: ``This crusade, this war on terrorism, is going to take a while. And American people must be patient''. (``Crusade, perang menentang keganasan ini akan mengambil masa. Rakyat Amerika perlulah bersabar.'')

Perisytiharan itu mengejutkan dunia Islam dan menimbulkan kebimbangan di kalangan penyokong dan penasihat Bush yang faham maksud crusade dalam konteks agama.

Dunia Islam terkejut kerana crusade bermaksud tidak lain tidak bukan perang agama yang dilancarkan oleh raja-raja Kristian Eropah ke atas Islam selama 174 tahun antara tahun 1096 dan 1270.

Malah penguatkuasaan fatwa Pope, iaitu pemimpin tertinggi Roman Katholik, mengenainya berterusan sehingga abad ke-18 di mana sesiapa yang melancarkan perang ke atas Islam diberi jaminan pengampunan daripada segala dosa dan ganjaran syurga.

Tambah membimbangkan penyokong dan penasihat Bush ialah latar belakang Bush sendiri yang berkait rapat dengan fundamentalisme Kristian. Bush secara terbuka mengisytiharkan dirinya born again Christian yang bermaksud dia kembali menemui agama dan mendapat ilham daripadanya.

Walaupun Bush meminta maaf kononnya terlanjur membuat kenyataan itu, banyak pihak tidak yakin. Mereka percaya ada unsur agama yang tebal dalam kenyataan itu dan Bush akan menggunakannya.

Kebimbangan ini menjadi kenyataan apabila Bush melobi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengizinkan serangan ke atas Afghanistan sebuah negara Islam yang diperintah oleh fundamentalis Taliban tahun lalu.

Walaupun alasannya ialah Afghanistan memberi perlindungan kepada Osama Bin Laden, jutawan Arab Saudi, yang dikaitkan dengan serangan 11 September, cadangan menyerang negara itu mudah mendapat sokongan rakyat Amerika Syarikat (AS) kerana Afghanistan sebuah negara Islam.

Pelanggarannya ke atas Iraq, sebuah lagi negara Islam, memperkuatkan tanggapan bahawa Bush sedang melancarkan perang salib bentuk baru dengan bertopengkan coded language (bahasa berkod) seperti memerangi keganasan, mempertahankan hak asasi manusia dan mewujudkan demokrasi.

Hakikat bahawa tentera AS membunuh dan mencederakan beribu rakyat Afghanistan dan Iraq tidak pula melanggar hak asasi manusia dan realiti bahawa kebanyakan negara Arab yang menyokong AS bukan kerajaan demokrasi, tidak pula menjadi masalah kepada Bush.

Belum pun selesai pelanggarannya ke atas Iraq, AS sudah mengenal pasti Iran dan Syria dua negara Islam yang berpotensi dijadikan sasaran. Kemungkinan salah sebuah atau kedua-dua negara ini menjadi medan perang AS seterusnya bukan sesuatu yang mustahil. Iran sudahpun digolongkan dalam apa yang dipanggil axis of evil (pakatan jahat tiga hala) bersama-sama Iraq dan Korea Utara.

Bush tidak keseorangan. Manakala beliau didorong oleh fundamentalisme agama, pembuat dasar, perancang perang dan pelobi di Washington pula mencari dan mempopularkan pelbagai teori sebagai alasan untuk melancarkan perang.

Di Afghanistan untuk menangkap Osama dan di Iraq untuk mencari senjata pemusnah massa (weapons of mass destruction) dan di Iran dan Syria kerana dituduh menyokong Iraq.

Apa yang berlaku di Afghanistan akan berlaku di Iraq, Iran, Syria dan di mana-mana juga negara Islam. Menangkap atau membunuh Osama penting bagi Bush, tetapi tidaklah sepenting menjatuhkan kerajaan fundamentalis Taliban dan menggantikannya dengan sebuah pemerintahan yang menyokong AS.

Ini terbukti mujarab apabila Afghanistan menjadi antara 45 negara yang menyokong serangan AS ke atas Iraq.

Di Iraq, senjata pemusnah massa dijadikan alasan untuk menjatuhkan Saddam Hussein dan menubuhkan sebuah kerajaan pro-AS. Dalam konteks geopolitik dan ekonomi, sebuah kerajaan yang akur kepada AS lebih penting di Baghdad daripada di Kabul. Iraq kaya dengan hasil bumi dan mempunyai banyak cerdik pandai, khasnya saintis.

Iraq juga penting dari sudut lokasi kerana ia terletak di dunia Arab. Dengan mewujudkan sebuah kerajaan demokratik mengikut acuan AS dan membelanjakan berbilion dolar untuk membina semula negara itu, Iraq boleh dijadikan negara Arab contoh.

Sebab itulah Bush dan penasihat-penasihatnya yang radikal seperti Naib Presiden, Dick Cheney, Setiausaha Pertahanan, Donald Rumsfeld dan Penasihat Keselamatan Negara, Condoleezza Rice tidak mahu pembabitan cergas PBB dalam pembinaan semula Iraq selain bantuan kemanusiaan.

Rice dengan bongkak berkata mengapa PBB atau pihak-pihak lain harus diberi peranan sedangkan AS yang bersusah payah menakluki Iraq.

Timbalan Setiausaha Pertahanan, Paul Wolffowitz yang berupa salah seorang perancang perang ke atas Iraq berkata kerajaan baru Iraq mungkin boleh ditubuhkan dalam masa enam bulan.

Kata beliau itulah masa yang diambil bagi menubuhkan kerajaan anti-Saddam di utara Iraq selepas tamat Perang Teluk pada 1991.

Apa pun muslihat Washington melancarkan perang, hakikatnya ialah peperangan penting dan menguntungkan AS. Setiap kali AS melancarkan perang atau membabitkan dirinya dalam peperangan, ia mengaut hasil yang besar dari segi politik, ekonomi dan ketenteraan.

Perang adalah mengenai dominasi politik, ekonomi dan tentera. Misalnya dalam perang dengan Iraq sekarang, Pentadbiran Bush menggunakan peralatan paling canggih dan menghantar ratusan ribu anggota muda tentera untuk memperkukuhkan patriotisme mereka.

Kongres telah meluluskan peruntukan AS$75 bilion (RM285 bilion) kepada Bush untuk `projek' perang itu. Wang itu tidak membazir. Dengannya Bush boleh menggerakkan semula ekonomi AS yang lembap melalui pembelian senjata dan pemberian kontrak kepada syarikat-syarikat AS.

Perang adalah perniagaan. Sebelum perang bermula 20 Mac lalu, berpuluh-puluh kontraktor awam AS telah diberikan kontrak ratusan juta dolar bagi membekalkan perkhidmatan kepada tentera AS daripada menyediakan makanan kepada menyelenggarakan berek dan memadamkan kebakaran telaga minyak.

AS tidak perlu bimbang kerana peruntukan yang besar ini akan ditampung oleh hasil minyak Iraq. Hanya dengan menguasai minyak Iraq dan menggunakannya untuk menjatuhkan harga minyak di pasaran dunia, AS sudah boleh mendapat balik wang yang dibelanjakan sambil memperkukuhkan ekonominya.

Seperti kata Ben Cohen, usahawan dan pengasas Ben and Jerry dan Presiden Priorities Campaign, Bush sangat memerlukan musuh yang serius sebagai alasan mengapa dia mahukan begitu banyak wang untuk pertahanan. Tahun ini Bush bercadang membelanjakan AS$380 bilion (RM1,444 bilion) untuk pertahanan.

Jumlah ini tiga kali ganda lebih besar daripada keseluruhan perbelanjaan pertahanan Rusia, China, Iraq dan negara-negara yang berpotensi diisytiharkan musuh oleh AS iaitu Cuba, Iran, Libya, Korea Utara, Sudan dan Syria.

Dari sudut mana sekalipun, AS adalah negara tentera. Ia membelanjakan paling banyak wang untuk pertahanan berbanding AS$42 bilion yang diperuntukkan kepada pendidikan, AS$26 bilion perumahan dan AS$1 bilion pembinaan sekolah.

Perang Afghanistan dan Iraq secara mutlak mengubah status AS daripada negara kuasa besar kepada negara imperialis. Ini ditegaskan sendiri oleh banyak penulis dan pengulas AS. Mereka tidak bersembunyi lagi melabelkan negara mereka sebagai negara imperialis atau yang mengamalkan ciri-ciri penjajahan.

Andrew Nagorski, wartawan kanan majalah Newsweek, dalam tulisannya yang terbaru mengenai Perang Iraq menggunakan ungkapan American imperial overreach bagi mengulas tindak tanduk AS yang keterlaluan terhadap Iraq.

Perang memberi peluang kepada AS menguji senjata baru dan menghabiskan simpanan senjata lama dengan itu industri persenjataan yang sangat penting kepada ekonomi AS terus berkembang.

Kerajaan AS membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun memberi subsidi kepada industri persenjataan untuk mencipta dan menguji senjata baru serta menghasilkan teknologi yang boleh digunakan oleh awam.

Justeru perang sama serasi dengan cara hidup AS seperti McDonald dan Coca Cola. Negara yang lahir daripada perang 200 tahun lalu jelas tidak dapat memisahkan dirinya daripada perang. Ini adalah kerana perang menjadi pemangkin mempertahankan nasionalisme dan patriotisme AS.

Setiap generasi baru AS boleh dikerah berperang seolah-olah inilah kali pertama AS berperang dan setiap orang muda AS wajib bersedia mengorbankan nyawa. Tidak hairanlah usia anggota tentera AS yang dihantar berperang dan terkorban menjadi semakin muda dengan setiap peperangan.

Usia purata anggota tentera AS dalam Perang Dunia Kedua ialah 26 tahun. Tidak sampai 20 tahun kemudian di Vietnam, usia purata mereka jatuh kepada 19 tahun. Usia purata 47,378 anggota tentera AS yang mati dalam pertempuran di Vietnam ialah 23 tahun.

Dunia tidak selamat lagi. AS boleh menyerang dan menakluki mana-mana negara jika pada pendapatnya pemimpin atau kerajaan negara itu tidak disukai rakyatnya. Saddam adalah sekutu AS ketika Perang Iran-Iraq.

AS membekalkan senjata yang banyak kepadanya. Banyak pemimpin kanan Pentadbiran Bush sekarang mengunjungi Baghdad untuk menyatakan sokongan kepada Saddam.

Yang sangat membimbangkan ialah penjajahan bentuk baru ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara supaya tidak begitu ketara tetapi tetap berkesan. Misalnya, sebelum menyerang Iraq pada 20 Mac lalu, AS sudah pun menguasai sebahagian daripada negara itu melalui pemberontak Kurdis.

Sebaik sahaja menang Perang Teluk tahun 1991, AS mewujudkan `negara dalam negara' di bahagian utara Iraq dengan menubuhkan kawasan yang dikuasai kaum Kurdis.

AS dan sekutunya melindungi wilayah Kurdis itu dengan mewujudkan no fly zone (zon larangan terbang). Tentera udara AS dan British yang meronda zon itu berhak membedil kapal terbang atau kenderaan tentera Iraq yang memasukinya.

Justeru adalah tidak mustahil AS menggunakan kaedah ini di negara-negara lain bagi memecahbelah dan menakluki mereka. Tanda awal jelas kelihatan apabila AS secara terbuka memperalatkan penduduk Syiah Iraq yang merupakan puak majoriti.

Manakala ia memberi amaran keras kepada kerajaan Syiah Iran agar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman Iraq dan melabelkan negara itu evil (jahat), ia tidak segan silu memperalatkan penganut Syiah di Iraq untuk menjatuhkan Saddam.

Tidak mustahil ini berupa permulaan kepada satu lagi kempen politik AS untuk melaga-lagakan umat Islam. Jelas Pentadbiran Bush bersedia menggunakan apa saja cara untuk mencapai matlamatnya menguasai dunia, khasnya dunia Islam.



 
  
 

Hak milik terpelihara eZaL@2003.